Sunday, May 30, 2010

Kecantikan Perkahwinan

Kita sering kaitkan cantik itu dengan kecantikan luaran terutamanya. Cantik rupa, tubuh badan, hati , jiwa, akhlak dan tingkah laku. Tetapi kita sering lupa bahawa kecantikan itu sangat luas ertinya. Saya suka kaitkan kecantikan ini dengan dunia perkahwinan. Wanita dan perkahwinan adalah simbol kecantikan di dunia ini. Uhhh!!! Bangganya saya. Bayangkan, antara wanita yang belum berkahwin dengan wanita yang sudah berkahwin, apa bezanya? Terlalu banyak bezanya...Kalau nak dilihat dari segi fizikal, lihat sajalah wajah wanita yang telah berumahtangga, sungguh berseri. Belum lagi di lihat dari bentuk tubuhnya dan juga perilakunya. Semuanya manis. Sebab semuanya mendapat keberkatan dari suaminya. Kecantikan isteri pun memerlukan keberkatan suami tau..ermm, barulah awet muda sentiasa. Itu belum lagi ditambah dengan adanya anak-anak. Kecantikan wanita akan lebih bertambah-tambah. Lihatlah wajah wanita yang bergelar ibu. Serinya lain dari wanita-wanita yang lain. Walaupun tanggungjawabnya berat tetapi keikhlasan, kejujuran dan keredhaan yang dimiliki dan diluahkan sewaktu melaksanakan segala tanggungjawabnya itu menyerlahkan segala kecantikan yang dimiliki.

Memang tak dinafikan, ada wanita yang sengsara sepanjang melalui alam perkahwinan mereka. Tetapi semuanya adalah ketentuan Allah buat kita. Ketabahan dan keredhaan itulah yang akan menenggelamkan segala kedukaan dan memancarkan segala kecantikan dalaman seorang wanita. Walau diuji seberat manapun, kesabaran adalah milik wanita. Itulah diantara kecantikan wanita dalam alam perkahwinan mereka.

Wanita, wanita.....di dalam alam perkahwinan ini sememangnya banyak lagi penerokaan yang harus dilakukan. Banyak lagi ruang yang perlu diisi. Banyak lagi emosi yang perlu dijelajahi. Suami...segala-galanya dalam dunia isteri. Jadikanlah suami sebagai teman yang paling setia dan paling karib dalam hidup kita. Lihatlah suami bukan sebagai hak milik kekal kita. Lihatlah sang suami sebagai penilai kita di dunia ini. Individu yang akan menilai segala tingkah laku dan personaliti kita sebagai wanita. Indahnya kita sebagai isteri maka cantiklah segala alam rumahtangga itu. Keraplah menilai kembali diri sendiri sebagai wanita, isteri dan ibu dalam perkahwinan. Iye la..kadang kala suami menilai dan memberi teguran yang melampau-lampau terhadap diri kita. Banyak yang tak kena terutamanya di awal usia perkahwinan. Tetapi wanita yang bijak akal fikirannya dan cantik hati dan jiwanya, akan tahu caranya untuk menangani segala teguran walaupun kadangkala teguran itu amat menyakitkan hati. Kan sudah diketahui, kesabaran yang teramat itu ada dalam diri seorang wanita berbanding lelaki. Jadi terokailah sikap sabar itu. Cari ia dalam diri kita sebagai seorang wanita.

Jadikanlah segala cabaran dalam perkahwinan itu sebagai pengalaman dan ilmu pengetahuan yang Allah berikan. Tiada pengalaman yang lebih bermakna selain dari apa yang Allah dah tentukan kepada kita. Terimalah segalanya dengan redha, sabar, ikhlas dan jujur semata-mata untuk mendapat keberkatan dari suami dan juga dariNYA. InsyaAllah...kecantikan perkahwinan itu akan terserlah...

No comments: